Pesan Arwah Atuk

DULU, sebelum arwah atuk aku meninggal pada disember 1995, tatkala aku berumur 8 tahun, arwah atuk aku pernah berpesan. Kelak aku dewasa nanti, ibu bapa aku harus bentuk aku, supaya tidak terpatah kemana-mana arah. Tidak lembut, ataupun seumpamanya. Tidak terlalu berlembut pada sifat mahupun nurani. Lantas, pesan mama, arwah atuk selalu kata ‘jangan manjakan diri untuk menjadi orang lembut, binasa padahnya’. Aku faham, lagi mengerti. Kerana saat selepas dia berpesan, dia pergi. Dan setiap tahun, mama akan selalu pesan, abah akan selalu didik, mengikut pesan arwah atuk. Didik dari segi agama tak pernah tinggal, sedikitpun, didikan dari moral seallu disokong, tambahan aku anak lelaki pertama dari anak lelaki pertama. Waris. Tak dihalangnya aku berkawan, tak dicercanya dengan siapa aku berkawan, tapi selalu diperhatikan siapa kawan aku.

Sampai umur aku belasan, selalu mama berpesan dan abah mendidik, janganlah dengan nafsu songsang aku ikuti. Janganlah dengan perihal perempuan aku turuti, itu pesanan mereka. Tatkala aku sering dipesan, tak terdetik untuk melawan. Walhal, aku turut runsing, bicara pesan arwah atuk sebelum pergi. Aku tak musykil satu sifat yang ada dalam diri aku hampir patah. Walaupun aku dibayangi dibawah kakak, namun kakak aku tidak pernah mengajar apatahlagi mengajak untuk mengikuti jejak mereka. Aku turut panjat pokok, jatuh basikal dari bukit yang tinggi hingga lututku berlubang, kaki terpijak mercun sehingga hangus, bertumbuk keranan mengejek, bergaduh kerana tersalah gol, mahupun terhambat kucing tetangga. Tatkala remaja juga, dengan pesan mama dan didikan abah, aku juga selalu terpana. Adakah atuk salah pesan, atau sekadar berpesan, atau dia memang mahu berpesan?

Umur meningkat, hujung belasan masa paling meningkat naik bagi anak lelaki. Saat itu semua peluang mahu dikaut, kemahsyuran mahu dipungut, kejantanan mahu ditaut. Lelaki, pesan mama dan didikan abah masih lagi sama. ‘Ingat pesan atuk kau’. Aku ingat dan memang ingat selalu. Tidak mahu terpatah aral seperti pesanan atuk, kerana pesanan terakhir itu wasiat yang harus dipegang. Dengan umur begitu, aku tampakkan lagi kelelakian aku dengan tautan peribadi, kadangkala aku cukur misai, kadangkala aku biar janggut, kadangkala aku tunjukkan dadaku yang semakin bidang. Fizikal, mana lelaki yang tak bangga dengan fizikal. Pesan mama dan didikan abah berulang lagi ‘Ingat pesan atuk kau’. Aku ingat.

Sampailah suatu masa, aku baru sedar. Aku seringkali diusik oleh kaum seangkatan. Kadangkala meminta nombor, kadangkala mengajak keluar. Dan kadangkala cuba memenangi hati. Lalu aku tolak dengan baik dan diam dengan menghormati. Lalu aku teringat dengan pesan atuk, rupanya bermakna. Pesan atuk supaya aku tidak mudah terjebak, supaya aku jadi pemimpin, supaya aku buka mata, dunia ini luas. Memang dunia ini luas, kerana kerenah manusia itu pelbagai, kerana norma manusia itu tidak terkapai, kerana nafsu kadangkala menghilai. Lalu aku buka mata luas-luas, ingat pesan atuk, dan aku faham. Aku faham dan aku harus tidak cepat melatah. Kerana pesan atuk itu bukan sekadar wasiat biasa, tapi misi.

Rupanya visi arwah atuk itu kuat, bukan sekadar pada waktu itu, dia mahu aku memimpin. Dia tahu bakal keadaan yang akan aku lalui, lalu dia tidak mahu aku terjebak. Dia tahu apa hilai tawa yang bakal singgah, lalu dia mahu aku buka mata. Aku terima. Pesan mama juga, jangan cepat melatah dengan mereka, hormati kerana kita sesama manusia dan bukan tugas kita untuk menghina. Didik abah, pimpin diri kita, supaya satu hari nanti kita tak akan lenyap dan bakal memimpin. Kita perlu hormat mereka, bukan menghina. Jangan mengata kalau tak faham, jangan membenci kalau tak tahu, jangan menjebak kalau tak mahu. Pesan arwah atuk, aku faham. Mama selalu pesan, jangan hina orang, jangan benci orang, dan selalu faham orang. Aku faham. Abah selalu kata, diri kena betul, hati kena ikhlas, agama biar tetap. Aku mengerti.
Buat semua, bukan tugas kita untuk menghina, tapi tugas kita untuk memahami dan mendidik.

Kita tidak sebagus mana, kerana aku banyak cacat cela. Mereka ada hati, mereka ada perasaan, mereka ada jiwa, mereka juga manusia, mereka juga khalifah. Mereka punya harga diri, mereka punya keluarga. Buat kamu, siapa kita? Kita punya banyak dosa, kita tak sesempurna sifat, cuma dengan ego melaung diri. Kita tak sekuat umat, dengan nafsu kita tewas. Kita bukan abadi, konon diri tidak pernah mati. Buka mata, kalau ada yang kurang kita bantu. Kalau ada yang terlebih kita kurangkan. Kalau hati mati kita hidupkan. Kalau perasaan kering, kita segarkan. Kita pimpin diri kita.

tweet

Dan Aku Kembali Menulis

Blog ini adalah escapism aku dari dunia luar. Mungkin pendekatan aku agak berbeza dari mereka yang lain. Tapi, melalui medium ini jualah aku cuba sampaikan.

Sehaluan