Lapar

"Bang, Nasi Ayam seringgit boleh tak?"

'Takde dik, nasi ayam RM3.50'

Adik tersebut berlalu pergi. Diam sepi. Dengan perut berkeroncong, ditelan riuh pekik anak-anak murid di sekolah rendah. Ada tertawa sambil memegang keropok lekor dalam plastik bercelup sos. Ada pula rakusnya meratah ayam goreng, hidangan paling mewah. Sesetengahnya menolak tepi nasi lemak yang dimakan sedikit, tak tertahan pedasnya sambal. Dan si lapar menghabiskan mee goreng kosong rakan yang kekenyangan. Lumrah. Alam sekolah.

Pernah kamu menjadi anak itu? Mengharap syurga untuk merasa sahaja Nasi Ayam yang dijual. Meminta belas jika syurga itu wujud dalam koceknya yang hanya punya seringgit. Dan mengharap merasa bagaimana enaknya rasa makanan yang sedia ada. Dan harapan berharap supaya terbit syukur selepas mendapat makanan. Tapi cuma harapan bila ditolak mentah-mentah  dengan jawapan sebegitu.

Punah. Mati terus harapan. Hampa terbit di hati. Dan sayu semakin bermelodi. Tapi di simpan diam-diam dalam lubuk. Dan tak mahu mengharap belas orang ramai untuk sebegitu. Simpan sendiri. Tak mahu juga meminta belas kembali untuk bertanya, kerana fikir belas maruah itu sekali. Dan seperti anak itu, kamu akan berlalu pergi perlahan. Menghadapi realiti sebenar hidup. Sedang melodi perut bernada rancak, dan pula hati pasrah.



Pernah kamu menjadi anak itu?

Sabda Nabi SAW : “’Tiada tempat yang lebih buruk, yang dipenuhi anak Adam daripada perutnya, cukuplah bagi mereka beberapa suap yang dapat menyambung hidupnya, jika hal itu tidak bisa dihindari maka masing-masing sepertiga bagian untuk makanannya, minumnya dan nafasnya.” (HR: Ahmad, An-Nasaa’i, Ibnu Majah dan At-Tirmidzi )

Suatu tika dahulu, aku masih ingat, saat kantin di sekolah rendah dibahagikan dua. Makanan enak di tempat guru, dengan Nasi ayam disusun salad cantik berseri, lauk pauk campur enak semerbak, tambahan dengan air beraneka jenis dibuat segera mengikut permintaan. Nah, makanan terbaik untuk pengajar. Tak menjadi masalah. Kerana mereka punyai gaji, juga perlu mengeluarkan tenaga mendidik anak bangsa.



Di bahagian sebelahnya, kantin khas buat anak-anak sekolah. Bila kita boleh lihat, Mee Goreng Kosong berencah kicap dan jika anda bertuah akan dapat cebisan ayam satu atau dua, Nasi Lemak sambal cili boh yang mana pedas membunuh untuk anak-anak makan dan sambalnya dari cili boh yang dimasak dengan garam semata, kemudian seksyen makanan bergoreng, dengan nugget dan kentang yang digoreng dari minyak sepurnama lalu, dikala dahaga, anda boleh minta Air kordial, samada berperisa wajib Sirap atau Oren dengan air paip menjadi bahan utama.




Enakkan?

Buat anak-anak yang berduit lebih, mungkin boleh ke ruang guru dengan beratur sedikit untuk membeli makanan mewah disana. Dan kadangkala bila ada anak sekolah yang beratur, dengan baju lusuh, mukanya berberam belak, dan kulit gelap, dengan terlihat wajah susah, dihalau untuk ke ruangan makanan mewah. Kerana si abang kantin tahu bahawa anak itu tidak mampu. Kadangkala. Bukan selalu.

Dan pada si anak yang punyai bekalan wang ringgit yang mewah, dia langsung ke tempat guru dengan pesanan nasi ayamnya, dan air milo ais tabur, dibawa makan ke meja anak-anak sekolah. Dan kalian pernah menjadi antara anak-anak yang terlupa membawa wang atau bekal di sekolah, dan tidak punyai apa-apa untuk di makan saat waktu rehat, menjadi penonton melihat makannya anak-anak mewah makan. Lahapnya diam menggigit peha ayam madu berkicap itu. Nasinya dicicah dengan sos dan sambal tomato. Di hirup pula sup ayam dengan daun sup terapung. Dan kalian menjadi peneguk air liur di kantin sahaja. Mahu minta, tapi punyai rasa malu. Mahu beli tapi kocek tak berduit. Sedang perut bernada sayu, kalian mampu menjadi peneguk air liur sahaja. Pernah kan?

Mengidam dan mahu

Rancak aku bertweet, ada hamba menceritakan pengalamannya saat berlapar disekolah dahulu. Saat loceng rehat berbunyi duduk diamnya di kantin memerhati anak lain makan, dia diam-diam disitu berlapar. Ada kalanya terlihat anak-anak yang punyai wang untuk makan. Dia mengidam. Hanya mampu melihat. Satu hari, duduknya dia disitu terlihat seorang anak kaya menjamu keropok. Enak, bersos, panas-panas. Bila anak tadi mahu makan, keropok tadi terjatuh atas meja. Si anak kaya tadi tidak mengambil, tapi teruskan makan sambil membiar keropok terjatuh di atas meja. Dalam si anak kaya toleh ke tempat lain, anak lapar ini terus menyambar keropok yang terjatuh di atas meja. Tanpa malu. Dek kerana teringin dan lapar. Dia terus makan.

Rakan aku juga cerita, saat sekolah dahulu. Adik beradiknya tujuh bersekolah juga. Tidak pernah mempunyai wang saku kerana ayah tidak mampu. Tahun 1995, baru ayahnya memberi wang saku 50 sen. Itupun setelah ayahnya terlihat rakannya memberi wang pada anak.


Alhamdulillah, semua adik beradiknya menjadi.

Ramai lagi masih susah

Kadangkala kita hanya mampu untuk melihat makanan yang ada. Dengan seribu satu perasaan ingin, tapi seribu satu daya menolak kerana malu sudah untuk meminta. Kerana tahu daya mampu. Kita diamkan saja.

Aku juga

Kadangkala rasa mengidam itu wujud. Saat aku masih Darjah satu, kami mahukan nasi ayam. Mengidam. Dan kami tahu kami semua tidak mampu dengan wang hanya seringgit sehari pada ketika itu. Seringgit untuk makan dan minum. Tidak cukup kini. Aku tahu. Ketika itu Nasi Ayam berharga RM 2.80 sepinggan, kami berempat kempunan dan masing-masing keluarkan duit. Idea berkongsi nasi ayam muncul. Kami berempat, seorang seringgit, duit lebih untuk membeli air seringgit. Jadi dengan empat orang kami kongsi makan nasi sepinggan dengan air milo ais. Bersama-sama berkongsi makanan mewah. Tak pernah salah. Dan semua dapat merasa. Memang tak kenyang. Tapi perasaannya? Puas. Umpama dapat merasa sedikit syurga. Tersenyum.

Aku dapat tahu.

Ada Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) program yang wujud semenjak aku kecil lagi. Program yang di khususkan bagi anak-anak sekolah yang punyai keluarga kurang mampu. Buat anak-anak sekolah yang datangnya sentiasa berlapar. Diberi makan pada anak sekolah, supaya dia tidak berlapar seperti yang lain. Baguslah, program sebegini. Tapi sayang. Makanan yang diberi tetap Nutrisi nya rendah. Umpama mencurah ke daun keladi. Kadangkala, anak murid juga tidak lalu makan. Kerana sesudah makan mereka sakit.

Disini

Setiap anak sekolah wajib makan. Dengan nutrisi lengkap. Semua orang harus kenyang dan sihat pada waktu rehat. Menu makanan berharga 2pound sehari (Sila jangan tukarkan nilai ke ringgit) dengan menu makanan lengkap berupa susu, karbohidrat gula dan lain-lain. Jika anda khuatir halal haram makanan anak-anak, menu vegetarian juga ada, lengkap dengan pengisian nutrisi buat anak-anak untuk belajar. Tatkala anak-anak yang tidak mahu makan makanan sekolah, mereka diwajibkan membawa bekalan ke sekolah dengan menu serta nutrisi lengkap. Dengan itu setiap orang wajib makan bersama tanpa seorang pon yang akan berlapar serta duduk melihat makanan orang lain. Buat mereka yang tertinggal bekalan dan tertinggal wang di sekolah. Sekolah akan memberi makanan dahulu pada anak tersebut dan bilnya akan dibayar kelak. Mudah bukan?

Dengan keadaan sebegitu, kesemua anak-anak mendapat gizi makanan yang wajib. Protein, Kalsium, Karbohidrat, Vitamin dan Mineral. Kesemua nutrien ini penting untuk pembesaran anak-anak. Dengan ini anak-anak sekolah di Malaysia boleh belajar dengan lebih baik, dengan keadaan yang selesa.

Kan lebih baik sebegini?

Lebih baik jika kita galakkan budaya membawa bekal ke sekolah buat anak-anak. Buat ibu bapa yang sibuk di pagi hari. Siapkan makanan untuk anak anda pada malam hari, sandwich umpanya, tidak akan basi jika disiapkan malam sebelum, dan air seperti air putih rasanya akan bertahan lama. Sistem makanan disekolah juga perlu diselaraskan, pemberian tender kantin misalnya perlu di saring dengan penyediaan menu makanan buat anak-anak. Pentadbiran sekolah harus lebih peka dengan keadaan sekeliling. Kita tolak kapitalisma disekolah, tolak pembezaan wang. Makanan sihat penting untuk anak-anak sekolah. Beri mereka gizi secukupnya. Elakkan mereka berlapar, apatah lagi menangguk air liur taat memerhati anak lain menjamu selera.

Aku pernah lapar. Kamu juga pernah lapar. Kita mahu anak-anak kita teruskan tradisi berlapar?

Kalau kamu lihat anak yang mahukan nasi ayam seringgit tadi, apa yang kamu lakukan?


Momento 2012 ( bahagian akhir)

Jun 2012

Siapa sangka! Aku dalam dua bulan ke alam perkahwinan. Selepas ramadhan, seminggu syawal aku menjadi seorang suami. Dalam bulan jun, cik gf sibuk dengan persiapan perkahwinan. Tambahan lagi dia mahukan majlisnya dengan sempurna. Dan aku semakin serabut. Memikirkan masa yang dekat, tambahan dengan kehidupan selepas berkahwwin.

Mulakan hidup selepas berkahwin bukan di Malaysia, sebagai orang rantau di Scotland. Satu cabaran. Bukan kepalang.

Aku ketepikan sibuk kerja. Bulan jun, aku ke Perth. Cuti keluarga ke sana. Sebuah peluang melihat kehidupan pakcik ku disana. Bermula dari serang pelajar disana, terus bertukar menjadi penduduk tetap dan berkeluarga.

Percutian dirancang, aku kesana seminggu. Dengan disana kami bergerak sehingga ke selatan bahagian barat Australia. Dalam 1000km memandu. Puas. Terasa lapang melihat kekuasaan Allah.

Pulang ke Kuala Lumpur, kembali menghadapi musim sesak derita serta jerih warga kota. Ah perit.

Julai 2012

Persiapan raya makin hampir, umat lain berdondon bersiap untuk lebaran dan aku siapkan juga untuk majlis. Semakin suntuk, aku cuba kekalkan dengan tempo kerja yang ada. Cik gf tak terkata. Sudah kali kedua dia ke Jakarta pula. Aku tak ikut kali ini. Sarat dengan jemputan. Sana dan sini. Uruskan lagi dengan persediaan katering. Ah. Serabut

Saat ini, aku cuba habiskan banyak masa dengan keluarga serta teman terdekat. Semenjak Mei lagi, selain Aizat dan Hafidz, teman perbincangan aku adalah ATM. Dari dia aku kenal KC. Dan menjadi teman teh tarik aku yang lain, Radzi, Fakhrul, Alep, dan Fazallah.

Antara mereka, cuma Fazallah yang berkahwin. Dan hampir setiap perjumpaan. Dia hamparkan aku dengan seribu cerita perkahwinan. Cerita cabaran. Supaya aku fikir dua kali. Seperti aku bilang juga pada Fazallah, kalau sudah keputusan dibuat, takkan aku pandang kebelakang. Cerita ngeri dia menjadi pedoman. Mungkin dia tak mahu aku tersalah langkah, agar aku istiqamah, agar aku lebih baik. Mungkin. Dan aku tahu persis senda dia dalam perbualan.

Hirup teh tarik. Sedut marlboro soft pack.

Terima kadih para rakan. Aku kenang kalian.

Ogos 2012

Perit, bulan penentu. Orang bilang, ini bulan kemerdekaan. Dan adakah merdeka bagi aku? Atau satu bulan permulaan? Ya, merdeka itu maksudnya juga bermula bukan? Dari keadaan sedia ada kepada sebuah bulan baru.

Sudah sedia semua persiapan. Akus terus ke tanggal 26 ogos 2012. Tepat jam 10.08 selepas 45 khutbah sendiri oleh pak imam. Dengan pelbagai soal diberi kepada aku, dengan lenguh kaki hampir kebas, dihadapan keluarga, diwalikan ayah isteriku, di masjid kuning kota damansara, sekali lafaz. Aku menjadi suami.



Alhamdulillah.

Tutup segala persoalan bersediakah aku, tutup segala nota fitnah, dan merejam segala syaitan penghasut. Kucup di dahi isteri tanda bermula, imamkan solat simbolik cinta, dan teruskan hidup sebagai seorang suami selepas ini.

Selamat tinggal gadis-gadis lain! Kerana si isteri gadis yang kekal dihati saya selamanya! :P



September 2012.

Bermulanya pengembaraan saya sebagai seorang suami. Kami sibuk dengan persiapan ke Edinburgh. Rumah sudah dicari, selain persiapan majlis perkahwinan, kami siapkan diri dengan visa dan segalanya.

Untuk kalian yang mahu terbang juga seperti saya, saya ingatkan, janganlah anda memakai inai sebelum membuat visa. Kerana saya telahpun diauruh pulang akibat memakai inai dijari. Aku ingatkan masa nak buat visa tu dia nak wish selamat pengantin baru, rupanya dia kata tak boleh buat visa kalau ada inai. Gigih guna garam, limau purut, cuka, asam jawa nak tanggalkan, clorox juga ada takkan lupa. Tapi, bila dah pakai inai mekah, ucapannya selamat jela. Tiada ubatnya. Kau tahu apa yang kami lakukan nak tutup inai? Buat di kuku, kami kikis di studio manicure. Kemudian, kami tutupkan inai di jari itu dengan consealer makeup. Semua idea bernas si isteri.

Bulan ini juga Wan, nenek aku sakit. Aduh perit. Seribu saru dugaan. Majlis belah aku tetap diteruskan pada 22 September. Alhamdulillah. Ramai temanku hadir, Syasya dan Asya dari JB. Ada juga dari Perlis, ketika majlis di belah isteri, ada temanku jauh dari Jakarta hadir juga teman dari Singapura. Terima kasih Buna dan Maria! Dan paling aku tak lupa, anak angkat keluargaku, Pau yang terbang dari Barcelona ke Kuala Lumpur dengan memakai kain pelekat sepanjang perjalanan. Dan dia hadir untuk ke majlis kahwinku. Terima kasih semua!

Selepas majlis ku, 23 september kami terbang ke Edinburgh. Sebuah pengembaraan disini. Bila kami pulang ke Kuala Lumpur? Tiada perancangan. Yang pasti akan berada disini dalam jangka masa 3 tahun.



Oktober 2012

Aku mula kerja disini. Sebagai tukang cuci waktu pagi. Dan petangnya aku mengakar bahasa melayu. Dan aku tak pernah terfikir untuk kerja disini. Alhamdulillah, pendapatan disini cukup untuk kami sekeluarga. Cuma aku perlu lebih lagi untuk mencari rezeki menghantar duit ke keluarga. Kami rasa bertuah, bumi Scotland ini cukup cantik. Sayangnya, cuaca terlalu sejuk. Tak terkata sejuknya.

Menggigil.

November 2012

Bulan halloween, dan aku turun ke Nottingham. Dalam perjalanan singgah kesana, kami ke Sheffield untuk bertemu rakan buku jalanan yang ada disini, Ocen. Alhamdulliah dapat bertemu dengannya. Kami juga rancang mahu ke Belgium bersama. Selesai di Nottingham, kami cari lagi peluang untuk berjalan di bumi UK. InsyaAllah akan diceritakan lagi.



Disember 2012

Bulan kiamat kata kaum Mayan. Dan kami tunggu apa kiamatnya, ketika 'kiamat' kami langsung di Belgium, dan sibuk orang disana mengadakan parti hari kiamat. Dan bagi mereka tarikh 21 Disember itu sebuah permainan. Dan bagi kami juga. Kami ke Brussels Ieper, Bruge dan Simones. Sebuah percutian disana untuk bertemu sahabat lama. Akan ku ceritakan kelak. Sebuah tahun yang penuh dengan kejutan. Malam tahun baru di Edinburgh. Dan aku sahut cabaran pengembaraan 2013!

Salam ikhlas
-ko-


Momento 2012 - Mei (Jakarta)


Mei 2012

Bibit masa berubah tiba. Esoknya Cik Gf bakal ke Jakarta, tempa baju kahwin langsung kad Perkahwinan disana. Oh masa, dan aku fikir semua ini akan berlalu baik. Sampai tiba, Cik gf telefon. Diberitahu bahawa pasportnya hilang. Serabut. sudah di cari berkali-kali di tempat yang selalunya di simpan. Hilang. Cukup solat hajat semua di buat. Masih buntu. Penerbangan esok pagi. Masih tiada jalan nampaknya. Takkanlah nak dibiarkan kedua orang tua ke Jakarta dan Bandung bersahaja, hanya kami yang tahu bagaimana hala tuju. Banyak perkara perlu diselesaikan kami. Selesai langkah mencari. Masing-masing buntu.

Aku bilang pada dia. Biar aku sahaja pergi kesana dengan keluarganya, kerana proses urusan passport hilang ambil masa seminggu. Tak menentu. Jam berdetik pukul 3 pagi. Penerbangan besok pagi jam 7. Aku bilang juga, biarkan kedua orang tua pergi dahulu, aku ambil cuti kecemasan.

Besok pagi-pagi aku bersiap, sesudah subuh ke imigresen Shah Alam dengan harapan dapat belas urusan Passport selesai hari tersebut. Cuba juga. Kalau tidak selesai, aku beli tiket penerbangan jam 3 ke Soekarno Hatta. Dan aku kesana membantu. Tiada jalan lain.

Usai azan subuh, dan solat aku pinta doa bahawa semua selesai. Tak mahu buntu langsung ke imigresen Shah Alam sampai jam 7 pagi. Jadi orang ke dua beratur di depan pintu. Tunggu pintu buka jam 8. Sejam. Kami sabar menunggu.

Tepat Jam 8, kami masuk, ambil nombor. Apalah dugaan. Langsung seminit menunggu, kami laporkan tentang kehilangan passport dan mahukan urusan cepat. Diberitahu, kami kena menunggu lagu setengah jam. Kalut dengan doa dan harapan supaya semua selesai. Lalu kami turun ke McDonald's bersarapan. Tak betah. Langsung naik ke atas kembali.

Nombor dipanggil. Jam 9.30 pagi. Dikhabarkan proses urusan paling cepat hanya boleh berlangsung dalam masa 3 hari. Itu juga terletak di atas budi bicara ketua pengarah. Serabut. Di cadangkan kami ke Putrajaya, mencari belas disana. Dengan sarapan penuh dimulut, bergegas kesana. Masa suntuk, semakin tohor.

Sedang dalam kereta, hujan lebat. Menderu angin diluar, lagi ribut di fikiran kami. Kami fikir jika rayuan masih ditolak di Putrajaya.

Stereng kereta diputar ke presint 5. Mencari lokasi imigresen. Lalu Cik Gf soal, samada aku ada teman didalam imigresen yang boleh membantu. Aku pulas ingatan sekuat hati. Seingat aku teman se aras denganku saat aku diploma dulu bekerja di imigresen. Aku telefon semua nombor yang ada kenalan dengannya. Mencari.

Kereta parkir ditepi jalan. Nombor kini di tangan. jam 11 pagi. Aku telefon, khabar gembira. Husaini mahu menolong. Terus stereng ku putar ke Imigresen jalan duta.

Alhamdulillah, sampai di sana urusan mudah. Jam 12.30 semua urusan selesai termasuk denda. Langsung kerumahku, menempa tiket penerbangan ke Jakarta, dan aku juga kesana pula. Satu cerita.

Nasib menyebelahi, aku dan Cik Gf ke Jakarta hari itu juga, langsung kesana berjumpa keluarganya. Kami cuba uruskan satu persatu.

Sepanjang di Jakarta, pelbagai urusan diselesaikan. Kami uruskan dengan baik. Alhamdulillah tiada masalah. 5 hari disana, tiada hari yang dibazirkan begitu sahaja. Tapi.

di hari ke Empat di Jakarta, kami sudah menempa hotel di Millenium Jakarta, dua bilik. Satu untuk Cik Gf dan ibunya dan Satu untuk aku dan ayahnya. Saat di meja hadapan, mereka beritahu, hotel sudah penuh tiada single bed untuk kami, yang tinggal hanya queens bed. Kami akur.

Masuk ke bilik, memang tinggal queen bed yang ada. Lalu aku serba tergamam. Perlukah aku berkongsi selimut dengan bakal bapa mertua atau aku biarkan? Aku runsing.

Aku fikir, aku tak ambil selimut itu. Biarlah aku tidur diatas selimut. Sejuk sedikit. Tak mengapa. Akan jadi serba salah kalau aku berkongsi selimut. Sedangkan dirumah, kalau berkongsi katil pon aku mengalah, rela tidur di sofa. Kerana aku khuatir, tidur ku lasak. Mungkin tersepak atau terpeluk sesiapa sesedar bangun pagi nanti. Biarlah sejuk. Aku baring lagi. Ayah cik Gf sudah nyenyak, nafasnya lelah. Penat mungkin. Aku tarik bantal ku. Nasib baik tidak berkongsi bantal yang sama. Mungkin rasa lebih serba salah jika berlaku begitu. Ralit berfikir. Aku tertidur.

Sesedar subuh pagi. Aku bangun solat. Dan selesaikan urusan terakhir di Jakarta. dan ketika sarapan soalan hinggap padaku.

"Kenapa awak tak pakai selimut malam tadi?"

'Tak mengapa, panas' Jawabku selamba.

Sedangkan semua orang tahu bukan itu jawapannya.

(Tamat Momento 2012 - Mei Jakarta)


Momento 2012 (Bahagian 1)


Kau penah fikir, dalam masa berubah kau masih tidak berubah? pernah fikir begitu? Masa. cukuplah semua mahu bercerita sedang dunia berubah masa tetap berjalan seperti biasa. Seperti rutinnya, tidak pernah sedetik berehat. dan kadangkala manusia tidak pernah berterima kasih dengan masa yang menjalankan tugas.

2012.

Tahun yang paling banyak merubah diri aku. Terlalu banyak. Masa berjalan seperti biasa tapi kali ini keadaan yang sangat menabjubkan terlalu hebat. Seperti berubah 270 darjah. Mungkin aku tak pernah bercerita mengenai Puan Puteriku. Senyum buat semua. Kali ini aku coretkan semua, bagaimana masa berjalan dan merubah keadaan.

Januari 2012

Tamat kerja di syarikat, aku menjadi penganggur sebentar. Menjadi penganggur terhormat. Sedang aku menunggu masa ke syarikat baru. Ahh, lupakan hidup aku sebagai seorang pegawai perhubungan awam. bukan itu yang aku mahu tuliskan. Aku cuba telusuri perancangan sepanjang 2012.

Kononnya aku harap 2012 bakal menjadi titik tolak dalam hidup aku. aku mulakan januari tanpa sebarang kata dan perancangan khas. Cik gf masih di Shah Alam saat itu. Peperiksaan akhir makin dekat katanya. Aku akur, tapi hampir setiap hari juga aku kesana. Harungi rutin biasa.

Tiada apa yang luar biasa.

Februari 2012

Dalam hati aku fikir, patut simpan duit untuk kahwin atau pun tidak. Seharusnya aku menyimpan. Masih lagi simpan. Dalam bibit ingatan aku, aku masih lagi punyai perjalanan ke Bangkok bersama adik beradik. Aku tunggu dan aku simpan.

Aku mula di syarikat baru, rutin harian sebagai pekerja. tiada apa yang berbeza. Cik gf mahu ke Korea katanya. Aku persilakan. Setahun berkali dia ke luar negara. Sudah 5 tahun dengannya sudah biasa. Senyum.

Februari bukan bulan kepalang. Banyak kenangan setiap tahun. Aku pendam diam-diam. Kenangan juga bakal buat kita lebih baik, aku semat baik-baik.

Duit gaji sekadar cukup, lebihan buat aku simpan sedikit. Mungkin terpaksa korbankan untuk percutian, atau simpan buat kahwin.

Aku bincang dengan Cik Gf, bila wajar kahwin, perhubungan sudah terlalu lama. Kami bincang, fikir-fikir hujung 2012 atau tahun 2013 kelak. Masih ada setahun. Aku senyum. Boleh lah, pelan-pelan.

Mac 2012

Ah! bulan Keramat. Tarikh lahir aku tanggal 26. Umur meningkat, tanggungjawab makin hebat. Aku ke Bangkok, 5 hari. Bandar menawan, banyak yang menarik. Coretan agama di setiap pelusuk bandar lama Bangkok, makanan halal tidak susah. Banyak saja gerai yang menjual makanan halal. Pad thai, Pako Pau. Rindu, rindu kemeriahan Bangkok. Mahu saja aku kesana nanti. Senyum.

Tanggal harijadi aku Cik Gf buat sambutan hari jadi untuk ku. Kejutan, sebuah sambutan di sebelah kolam renang. Di ajak juga para rakan ku. Ada juga rakan lamaku. Aisya khabarkan dia mahu menikah April nanti. Sebuah perkhabaran gembira. Aku tumpang sama. Senyum. Dia tanyakan, bila tarikh aku? aku senyum lagi. Masakan aku boleh merancang tarikh terdekat? Baru sahaja aku habiskan wang gaji di Bangkok. Berjalan, aku suka berjalan. Pemandangan, orang budaya, seribu satu aku belajar. Tetapi wang selalu menyekat.

April 2012

Aku fikir, ini titik tolak perubahan. Sedang ralit bekerja, Cik GF telefon, katanya permohonan PhD ke Luar Negaranya berjaya. Tempat di Universiti juga sudah terjamin. Aku tanya lagi, dimana. UK. Jawapan yang buat aku pitam.

Panik.

PhD bukan setahun dua, masa bukan boleh berhenti. Panik lagi. Patut aku biar dia kesana seorang dan aku teruskan hidup, atau aku ubah hidup. Dari seorang bujang, kaki twitter, kaki jalan, kaki lepak ke lelalki berkeluarga?

Ahh fikir lagi. Pening.

Percaya pada diri aku? Ah tidak, hubungan jarak jauh. Aku tak percaya pada diri aku. Aku fikir ini bukan perkara main-main. Aku cuba terus terang dengan keluarga. Permainan percaya dan mempercayai bermula. Aku berterus terang dengan keluarga. Ceritakan semua. Keluarga dukung. Dukung niat mulia.

Atas perbincangan 1 Mei kami hantar rombongan merisik dan terus bertanya.

Mei 2012

1 Mei, hari jadi Cik Gf, aku fikir ini bukan perkara main-main. Dan kali ini, rombongan telah dihantar. Cincin di sarung tanda setuju, kami ikat tarikh 26 ogos tarikh nikah. Kepalangnya tarikh terbang ke Edinburgh 23 September.

Entah, itu cincin tunang atau tanda. Tunang mungkin, walau tiada majlis khas dan serba ringkas, kami bertukar kek sebagai tanda Membalas. Red Velvet ke rumahnya, dan Rainbow cake ke rumah aku. Ye, rainbow cake yang sangat sedap.

Kini sudah mula merangka tempat ke alam perkahwinan, mencari tarikh ke kursus nikah. Persiapan bermula.

Gila, persiapan dalam 3 bulan untuk semua. Serba gila. Tapi tak mengapa ni sebuah cabaran. Buat menjimatkan kos, Baju kahwin akan di tempah di Bandung, fabrik lebih murah. dengan masa yang kami fikir suntuk, memang berbaloi.

Langsung Cik Gf tempah tiket ke Jakarta dan Bandung pada bulan 5. Aku tak ke sana, fikirku cukup sekadar menempa saiz disini. Lalu dibawa kesana. Aku fikir.

(Tamat Bahagian 1)

tweet

Dan Aku Kembali Menulis

Blog ini adalah escapism aku dari dunia luar. Mungkin pendekatan aku agak berbeza dari mereka yang lain. Tapi, melalui medium ini jualah aku cuba sampaikan.

Sehaluan