Momento 2012 (Bahagian 1)


Kau penah fikir, dalam masa berubah kau masih tidak berubah? pernah fikir begitu? Masa. cukuplah semua mahu bercerita sedang dunia berubah masa tetap berjalan seperti biasa. Seperti rutinnya, tidak pernah sedetik berehat. dan kadangkala manusia tidak pernah berterima kasih dengan masa yang menjalankan tugas.

2012.

Tahun yang paling banyak merubah diri aku. Terlalu banyak. Masa berjalan seperti biasa tapi kali ini keadaan yang sangat menabjubkan terlalu hebat. Seperti berubah 270 darjah. Mungkin aku tak pernah bercerita mengenai Puan Puteriku. Senyum buat semua. Kali ini aku coretkan semua, bagaimana masa berjalan dan merubah keadaan.

Januari 2012

Tamat kerja di syarikat, aku menjadi penganggur sebentar. Menjadi penganggur terhormat. Sedang aku menunggu masa ke syarikat baru. Ahh, lupakan hidup aku sebagai seorang pegawai perhubungan awam. bukan itu yang aku mahu tuliskan. Aku cuba telusuri perancangan sepanjang 2012.

Kononnya aku harap 2012 bakal menjadi titik tolak dalam hidup aku. aku mulakan januari tanpa sebarang kata dan perancangan khas. Cik gf masih di Shah Alam saat itu. Peperiksaan akhir makin dekat katanya. Aku akur, tapi hampir setiap hari juga aku kesana. Harungi rutin biasa.

Tiada apa yang luar biasa.

Februari 2012

Dalam hati aku fikir, patut simpan duit untuk kahwin atau pun tidak. Seharusnya aku menyimpan. Masih lagi simpan. Dalam bibit ingatan aku, aku masih lagi punyai perjalanan ke Bangkok bersama adik beradik. Aku tunggu dan aku simpan.

Aku mula di syarikat baru, rutin harian sebagai pekerja. tiada apa yang berbeza. Cik gf mahu ke Korea katanya. Aku persilakan. Setahun berkali dia ke luar negara. Sudah 5 tahun dengannya sudah biasa. Senyum.

Februari bukan bulan kepalang. Banyak kenangan setiap tahun. Aku pendam diam-diam. Kenangan juga bakal buat kita lebih baik, aku semat baik-baik.

Duit gaji sekadar cukup, lebihan buat aku simpan sedikit. Mungkin terpaksa korbankan untuk percutian, atau simpan buat kahwin.

Aku bincang dengan Cik Gf, bila wajar kahwin, perhubungan sudah terlalu lama. Kami bincang, fikir-fikir hujung 2012 atau tahun 2013 kelak. Masih ada setahun. Aku senyum. Boleh lah, pelan-pelan.

Mac 2012

Ah! bulan Keramat. Tarikh lahir aku tanggal 26. Umur meningkat, tanggungjawab makin hebat. Aku ke Bangkok, 5 hari. Bandar menawan, banyak yang menarik. Coretan agama di setiap pelusuk bandar lama Bangkok, makanan halal tidak susah. Banyak saja gerai yang menjual makanan halal. Pad thai, Pako Pau. Rindu, rindu kemeriahan Bangkok. Mahu saja aku kesana nanti. Senyum.

Tanggal harijadi aku Cik Gf buat sambutan hari jadi untuk ku. Kejutan, sebuah sambutan di sebelah kolam renang. Di ajak juga para rakan ku. Ada juga rakan lamaku. Aisya khabarkan dia mahu menikah April nanti. Sebuah perkhabaran gembira. Aku tumpang sama. Senyum. Dia tanyakan, bila tarikh aku? aku senyum lagi. Masakan aku boleh merancang tarikh terdekat? Baru sahaja aku habiskan wang gaji di Bangkok. Berjalan, aku suka berjalan. Pemandangan, orang budaya, seribu satu aku belajar. Tetapi wang selalu menyekat.

April 2012

Aku fikir, ini titik tolak perubahan. Sedang ralit bekerja, Cik GF telefon, katanya permohonan PhD ke Luar Negaranya berjaya. Tempat di Universiti juga sudah terjamin. Aku tanya lagi, dimana. UK. Jawapan yang buat aku pitam.

Panik.

PhD bukan setahun dua, masa bukan boleh berhenti. Panik lagi. Patut aku biar dia kesana seorang dan aku teruskan hidup, atau aku ubah hidup. Dari seorang bujang, kaki twitter, kaki jalan, kaki lepak ke lelalki berkeluarga?

Ahh fikir lagi. Pening.

Percaya pada diri aku? Ah tidak, hubungan jarak jauh. Aku tak percaya pada diri aku. Aku fikir ini bukan perkara main-main. Aku cuba terus terang dengan keluarga. Permainan percaya dan mempercayai bermula. Aku berterus terang dengan keluarga. Ceritakan semua. Keluarga dukung. Dukung niat mulia.

Atas perbincangan 1 Mei kami hantar rombongan merisik dan terus bertanya.

Mei 2012

1 Mei, hari jadi Cik Gf, aku fikir ini bukan perkara main-main. Dan kali ini, rombongan telah dihantar. Cincin di sarung tanda setuju, kami ikat tarikh 26 ogos tarikh nikah. Kepalangnya tarikh terbang ke Edinburgh 23 September.

Entah, itu cincin tunang atau tanda. Tunang mungkin, walau tiada majlis khas dan serba ringkas, kami bertukar kek sebagai tanda Membalas. Red Velvet ke rumahnya, dan Rainbow cake ke rumah aku. Ye, rainbow cake yang sangat sedap.

Kini sudah mula merangka tempat ke alam perkahwinan, mencari tarikh ke kursus nikah. Persiapan bermula.

Gila, persiapan dalam 3 bulan untuk semua. Serba gila. Tapi tak mengapa ni sebuah cabaran. Buat menjimatkan kos, Baju kahwin akan di tempah di Bandung, fabrik lebih murah. dengan masa yang kami fikir suntuk, memang berbaloi.

Langsung Cik Gf tempah tiket ke Jakarta dan Bandung pada bulan 5. Aku tak ke sana, fikirku cukup sekadar menempa saiz disini. Lalu dibawa kesana. Aku fikir.

(Tamat Bahagian 1)

3 comments:

DaNnY oCeaN January 2, 2013 at 4:04 AM  

Ceritanya nak panik aje..

Unknown January 2, 2013 at 8:20 AM  

haha. memang banyak elemen suspens

Aliya Azmi January 2, 2013 at 4:55 PM  

Cemas la weh. habis kan cerita boleh tak pok!

Post a Comment

tweet

Dan Aku Kembali Menulis

Blog ini adalah escapism aku dari dunia luar. Mungkin pendekatan aku agak berbeza dari mereka yang lain. Tapi, melalui medium ini jualah aku cuba sampaikan.

Sehaluan