Lapar

"Bang, Nasi Ayam seringgit boleh tak?"

'Takde dik, nasi ayam RM3.50'

Adik tersebut berlalu pergi. Diam sepi. Dengan perut berkeroncong, ditelan riuh pekik anak-anak murid di sekolah rendah. Ada tertawa sambil memegang keropok lekor dalam plastik bercelup sos. Ada pula rakusnya meratah ayam goreng, hidangan paling mewah. Sesetengahnya menolak tepi nasi lemak yang dimakan sedikit, tak tertahan pedasnya sambal. Dan si lapar menghabiskan mee goreng kosong rakan yang kekenyangan. Lumrah. Alam sekolah.

Pernah kamu menjadi anak itu? Mengharap syurga untuk merasa sahaja Nasi Ayam yang dijual. Meminta belas jika syurga itu wujud dalam koceknya yang hanya punya seringgit. Dan mengharap merasa bagaimana enaknya rasa makanan yang sedia ada. Dan harapan berharap supaya terbit syukur selepas mendapat makanan. Tapi cuma harapan bila ditolak mentah-mentah  dengan jawapan sebegitu.

Punah. Mati terus harapan. Hampa terbit di hati. Dan sayu semakin bermelodi. Tapi di simpan diam-diam dalam lubuk. Dan tak mahu mengharap belas orang ramai untuk sebegitu. Simpan sendiri. Tak mahu juga meminta belas kembali untuk bertanya, kerana fikir belas maruah itu sekali. Dan seperti anak itu, kamu akan berlalu pergi perlahan. Menghadapi realiti sebenar hidup. Sedang melodi perut bernada rancak, dan pula hati pasrah.



Pernah kamu menjadi anak itu?

Sabda Nabi SAW : “’Tiada tempat yang lebih buruk, yang dipenuhi anak Adam daripada perutnya, cukuplah bagi mereka beberapa suap yang dapat menyambung hidupnya, jika hal itu tidak bisa dihindari maka masing-masing sepertiga bagian untuk makanannya, minumnya dan nafasnya.” (HR: Ahmad, An-Nasaa’i, Ibnu Majah dan At-Tirmidzi )

Suatu tika dahulu, aku masih ingat, saat kantin di sekolah rendah dibahagikan dua. Makanan enak di tempat guru, dengan Nasi ayam disusun salad cantik berseri, lauk pauk campur enak semerbak, tambahan dengan air beraneka jenis dibuat segera mengikut permintaan. Nah, makanan terbaik untuk pengajar. Tak menjadi masalah. Kerana mereka punyai gaji, juga perlu mengeluarkan tenaga mendidik anak bangsa.



Di bahagian sebelahnya, kantin khas buat anak-anak sekolah. Bila kita boleh lihat, Mee Goreng Kosong berencah kicap dan jika anda bertuah akan dapat cebisan ayam satu atau dua, Nasi Lemak sambal cili boh yang mana pedas membunuh untuk anak-anak makan dan sambalnya dari cili boh yang dimasak dengan garam semata, kemudian seksyen makanan bergoreng, dengan nugget dan kentang yang digoreng dari minyak sepurnama lalu, dikala dahaga, anda boleh minta Air kordial, samada berperisa wajib Sirap atau Oren dengan air paip menjadi bahan utama.




Enakkan?

Buat anak-anak yang berduit lebih, mungkin boleh ke ruang guru dengan beratur sedikit untuk membeli makanan mewah disana. Dan kadangkala bila ada anak sekolah yang beratur, dengan baju lusuh, mukanya berberam belak, dan kulit gelap, dengan terlihat wajah susah, dihalau untuk ke ruangan makanan mewah. Kerana si abang kantin tahu bahawa anak itu tidak mampu. Kadangkala. Bukan selalu.

Dan pada si anak yang punyai bekalan wang ringgit yang mewah, dia langsung ke tempat guru dengan pesanan nasi ayamnya, dan air milo ais tabur, dibawa makan ke meja anak-anak sekolah. Dan kalian pernah menjadi antara anak-anak yang terlupa membawa wang atau bekal di sekolah, dan tidak punyai apa-apa untuk di makan saat waktu rehat, menjadi penonton melihat makannya anak-anak mewah makan. Lahapnya diam menggigit peha ayam madu berkicap itu. Nasinya dicicah dengan sos dan sambal tomato. Di hirup pula sup ayam dengan daun sup terapung. Dan kalian menjadi peneguk air liur di kantin sahaja. Mahu minta, tapi punyai rasa malu. Mahu beli tapi kocek tak berduit. Sedang perut bernada sayu, kalian mampu menjadi peneguk air liur sahaja. Pernah kan?

Mengidam dan mahu

Rancak aku bertweet, ada hamba menceritakan pengalamannya saat berlapar disekolah dahulu. Saat loceng rehat berbunyi duduk diamnya di kantin memerhati anak lain makan, dia diam-diam disitu berlapar. Ada kalanya terlihat anak-anak yang punyai wang untuk makan. Dia mengidam. Hanya mampu melihat. Satu hari, duduknya dia disitu terlihat seorang anak kaya menjamu keropok. Enak, bersos, panas-panas. Bila anak tadi mahu makan, keropok tadi terjatuh atas meja. Si anak kaya tadi tidak mengambil, tapi teruskan makan sambil membiar keropok terjatuh di atas meja. Dalam si anak kaya toleh ke tempat lain, anak lapar ini terus menyambar keropok yang terjatuh di atas meja. Tanpa malu. Dek kerana teringin dan lapar. Dia terus makan.

Rakan aku juga cerita, saat sekolah dahulu. Adik beradiknya tujuh bersekolah juga. Tidak pernah mempunyai wang saku kerana ayah tidak mampu. Tahun 1995, baru ayahnya memberi wang saku 50 sen. Itupun setelah ayahnya terlihat rakannya memberi wang pada anak.


Alhamdulillah, semua adik beradiknya menjadi.

Ramai lagi masih susah

Kadangkala kita hanya mampu untuk melihat makanan yang ada. Dengan seribu satu perasaan ingin, tapi seribu satu daya menolak kerana malu sudah untuk meminta. Kerana tahu daya mampu. Kita diamkan saja.

Aku juga

Kadangkala rasa mengidam itu wujud. Saat aku masih Darjah satu, kami mahukan nasi ayam. Mengidam. Dan kami tahu kami semua tidak mampu dengan wang hanya seringgit sehari pada ketika itu. Seringgit untuk makan dan minum. Tidak cukup kini. Aku tahu. Ketika itu Nasi Ayam berharga RM 2.80 sepinggan, kami berempat kempunan dan masing-masing keluarkan duit. Idea berkongsi nasi ayam muncul. Kami berempat, seorang seringgit, duit lebih untuk membeli air seringgit. Jadi dengan empat orang kami kongsi makan nasi sepinggan dengan air milo ais. Bersama-sama berkongsi makanan mewah. Tak pernah salah. Dan semua dapat merasa. Memang tak kenyang. Tapi perasaannya? Puas. Umpama dapat merasa sedikit syurga. Tersenyum.

Aku dapat tahu.

Ada Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) program yang wujud semenjak aku kecil lagi. Program yang di khususkan bagi anak-anak sekolah yang punyai keluarga kurang mampu. Buat anak-anak sekolah yang datangnya sentiasa berlapar. Diberi makan pada anak sekolah, supaya dia tidak berlapar seperti yang lain. Baguslah, program sebegini. Tapi sayang. Makanan yang diberi tetap Nutrisi nya rendah. Umpama mencurah ke daun keladi. Kadangkala, anak murid juga tidak lalu makan. Kerana sesudah makan mereka sakit.

Disini

Setiap anak sekolah wajib makan. Dengan nutrisi lengkap. Semua orang harus kenyang dan sihat pada waktu rehat. Menu makanan berharga 2pound sehari (Sila jangan tukarkan nilai ke ringgit) dengan menu makanan lengkap berupa susu, karbohidrat gula dan lain-lain. Jika anda khuatir halal haram makanan anak-anak, menu vegetarian juga ada, lengkap dengan pengisian nutrisi buat anak-anak untuk belajar. Tatkala anak-anak yang tidak mahu makan makanan sekolah, mereka diwajibkan membawa bekalan ke sekolah dengan menu serta nutrisi lengkap. Dengan itu setiap orang wajib makan bersama tanpa seorang pon yang akan berlapar serta duduk melihat makanan orang lain. Buat mereka yang tertinggal bekalan dan tertinggal wang di sekolah. Sekolah akan memberi makanan dahulu pada anak tersebut dan bilnya akan dibayar kelak. Mudah bukan?

Dengan keadaan sebegitu, kesemua anak-anak mendapat gizi makanan yang wajib. Protein, Kalsium, Karbohidrat, Vitamin dan Mineral. Kesemua nutrien ini penting untuk pembesaran anak-anak. Dengan ini anak-anak sekolah di Malaysia boleh belajar dengan lebih baik, dengan keadaan yang selesa.

Kan lebih baik sebegini?

Lebih baik jika kita galakkan budaya membawa bekal ke sekolah buat anak-anak. Buat ibu bapa yang sibuk di pagi hari. Siapkan makanan untuk anak anda pada malam hari, sandwich umpanya, tidak akan basi jika disiapkan malam sebelum, dan air seperti air putih rasanya akan bertahan lama. Sistem makanan disekolah juga perlu diselaraskan, pemberian tender kantin misalnya perlu di saring dengan penyediaan menu makanan buat anak-anak. Pentadbiran sekolah harus lebih peka dengan keadaan sekeliling. Kita tolak kapitalisma disekolah, tolak pembezaan wang. Makanan sihat penting untuk anak-anak sekolah. Beri mereka gizi secukupnya. Elakkan mereka berlapar, apatah lagi menangguk air liur taat memerhati anak lain menjamu selera.

Aku pernah lapar. Kamu juga pernah lapar. Kita mahu anak-anak kita teruskan tradisi berlapar?

Kalau kamu lihat anak yang mahukan nasi ayam seringgit tadi, apa yang kamu lakukan?


4 comments:

hanamiaueki January 11, 2013 at 12:28 AM  

puitis k-roll..teringat zaman sekolah dulu..
Nice written ^^

Khairul Aiman Hamdan January 11, 2013 at 3:24 AM  
This comment has been removed by the author.
najmi January 11, 2013 at 4:09 AM  

Menarik bila mana situasi kantin menjadi latar belakang entry kali ni. Aku pernah kerja sementara di Kantin sekolah menengah, selalu hadap situasi macam dalam entry kali ni. Tak sangka kan pada waktu sekarang situasi macam ni berulang lagi. Aku ingat lagi ada seorang adik tingkatan satu (cerita nasi ayam juga) nak membeli nasi ayam berharga RM2.50 tapi dihulurkan hanya RM1. Apa aku buat? Aku halalkan lagi rm1.50 tu mujur tauke kantin aku pun tak berkira dalam hal macam tu. Kalau ada ternampak murid yang tak makan memang kami akan beri makanan foc sahaja sebab mesti setiap hari akan ada lebihan makanan, daripada terbuang macam tu lebih baik beri pada pelajar.

Waktu aku jadi 'abang air' aku cuba variasikan pilihan perasa air, hari ni mungkin sirap esok limau ais dan seterusnya air sirap bandung. Satu perkara yang aku akan pastikan adalah gunakan air yang masak sempurna. Pelajar masih juga pelanggan dan hak mereka untuk dapatkan yang terbaik.

Khairul Aiman Hamdan January 11, 2013 at 5:08 AM  

Salam,

terima kasih kerana membaca. Dan maaf, jauh sudut hati aku tak pernah aku mahu menghina kantin sekolah. Aku cuma coretkan pengalaman aku sewaktu aku di sekolah rendah, darjah 1 - darjah 5.

Terima kasih, kerana kalian warga kantin yang telah menunjukkan peri pentingnya keikhlasan berniaga, peri pentingnya kemanusiaan dalam hati semua.

Masih teringat, ketika aku di Darjah 1, (1993). Air kordial oren dijual dengan harga 20 sen. Satu hari, ada lebah terjunam masuk dalam bekas air tersebut. Jelas nampak. Tapi orang kantin tersebut masih menjualnya. Kami budak-budak ketika itu, tidak tahu hak kami. Apa yang kami boleh buat, adalah tidak membeli. Ada juga anak yang kehausan masih membeli, dan abang tersebut menjual.

Tender kantin tersebut ditukar. Darjah 6 tender kantin baru. Pelbagai aneka. Masih ada anak berlapar. Tapi tiada siapa tahu.

Terima kasih atas niat ikhlas kamu. Terima kasih sekali lagi. Semoga Allah yang dapat membalas jasa kamu. jazakallah.

-KO-

Post a Comment

tweet

Dan Aku Kembali Menulis

Blog ini adalah escapism aku dari dunia luar. Mungkin pendekatan aku agak berbeza dari mereka yang lain. Tapi, melalui medium ini jualah aku cuba sampaikan.

Sehaluan